Isnin, 14 Februari 2011

IKTIBAR SEJARAH MAULIDUR RASUL: MENGHADAPI KRISIS & CABARAN

bismillahirohmannirohim...
assalamualaikum semua...
sedikit perkongsiaan untuk renungan dan mengambil tindakan dari catatan ini..harapnya...insyaALLAH


Setiap orang akan berhadapan dengan pelbagai krisis dan cabaran, sama ada segi politik, ekonomi, sosial, teknologi, persekitaran atau perundangan. Justeru, persiapan dan persediaan yang sewajarnya perlu dilakukan supaya krisis dan cabaran tersebut mampu dihadapi secara bijaksana. Kegagalan menangani krisis dan cabaran akan meletakkan kita dalam risiko untuk terjerumus ke dalam masalah yang lebih kritikal.
Sebagai seorang Islam, pastinya kita akan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model dan rujukan utama untuk dicontohi termasuklah segi persiapan dan persediaan menangani krisis dan cabaran. Coretan sirah telah membuktikan kekentalan dan ketabahan Rasulullah SAW menangani krisis dan cabaran dalam menyampaikan risalah Islam.
Langkah pertama untuk membuat persiapan dan persediaan ialah dengan cara merujuk kembali jejak yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Justeru, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari beberapa peristiwa yang dilalui oleh Rasulullah SAW yang menonjolkan sifat survival Baginda SAW dalam menghadapi krisis dan cabaran.

10 Sifat Survival Nabi Muhammad SAW
1)          Berdikari sebagai anak yatim piatu
Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim dan dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib. Semasa berumur enam tahun, ibunya iaitu Aminah pula telah meninggal dunia. Maka Rasulullah SAW dijaga sepenuhnya oleh datuknya. Semasa berumur lapan tahun, datuknya pula telah meninggal dunia, maka tanggungjawab menjaga Rasulullah SAW diambil alih pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Keadaan dan persekitaran inilah yang telah membentuk peribadi Rasulullah SAW menjadi seorang yang berdikari.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Latar belakang keluarga tidak boleh dijadikan sebagai alasan atau halangan untuk mencapai kejayaan.
¤    Keperitan hidup yang dialami oleh keluarga perlu dijadikan sebagai pengalaman untuk hidup berdikari.
¤    Wali atau ahli keluarga terdekat perlu berperanan mengambil tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang menghadapi kesusahan.

2)          Menggilap sepenuhnya potensi diri
Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Hikmahnya ialah untuk menolak tohmahan musuh yang mengatakan ajaran Islam adalah idea rekaan Nabi Muhammad SAW hasil pembacaan dan kajian. Pada masa yang sama menghindarkan tuduhan bahawa Baginda SAW sendiri yang menulis dan mengarang Al-Qur’an.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Sifat ummi tidak dilihat sebagai kelemahan yang boleh membantutkan proses penerokaan ilmu sebaliknya dijadikan sebagai sandaran meningkatkan kredibiliti diri.
¤    Menjaga dan menggilap sepenuhnya potensi diri yang dimiliki sama ada aspek akli, jasmani, emosi dan spritual.
¤    Mengasah ketajaman akli(daya intelektual) menerusi pelbagai kaedah seperti belajar dari pengalaman, menghayati alam, berfikir, berdialog dan sebagainya.

3)          Istiqamah dengan kebenaran
Nabi Muhammad SAW telah diutuskan kepada masyarakat jahiliah yang hidup tanpa panduan dan pancaran agama serta tersasar dari fitrah kejadian manusia. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah dan suka berperang sesama sendiri dengan alasan mempertahankan kehormatan. Namun, Nabi Muhammad SAW telah dipelihara oleh Allah SWT dari terjebak dalam maksiat tersebut.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita perlu berpegang pada prinsip dan jati diri walaupun berada dalam apa sahaja keadaan dan situasi. Prinsip dan jati diri yang dipegang akan meningkatkan maruah dan kredibiliti.
¤    Keupayaan membebaskan diri dari terjebak dalam pengaruh gejala negatif yang dibawa oleh masyarakat membuktikan sifat istiqamah yang dimiliki.
¤    Beruzlah mengasingkan diri dari kesibukan urusan dunia merupakan salah satu cara untuk menilai dan mencari ketenangan jiwa bagi menambahkan keimanan.

tiada yang lebih baik berbanding valantine day... 


4)          Tabah menghadapi penentangan
Seruan dakwah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak dihamparkan dengan permaidani merah, tetapi dipenuhi dengan onak dan duri. Baginda SAW telah menggunakan pendekatan berdakwah secara sulit pada peringkat awal sebagai salah satu strategi dakwah yang berkesan.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Penentangan atau kepayahan yang dihadapi dalam perjuangan perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih gigih.
¤    Strategi yang tepat dan sesuai akan memudahkan proses mencapai objektif atau sasaran yang ditetapkan.
¤    Usaha yang berorientasikan matlamat akan mendorong kita untuk mencuba pelbagai kaedah alternatif jika perancangan asal berhadapan dengan halangan atau kesukaran.

5)          Bersabar dengan penyeksaan
Usaha dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW bukan sekadar menghadapi penentangan, malahan terpaksa berdepan dengan tindakan kekerasan dan penyeksaan daripada pihak musuh. Mereka juga membuat pemulauan ekonomi, memutuskan hubungan, menyekat sumber rezeki dan tidak menerima sebarang perdamaian selagi Nabi Muhammad SAW masih meneruskan usaha dakwah.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Para pendakwah mesti membuat persediaan untuk menghadapi pelbagai bentuk sekatan dan ancaman daripada pihak musuh.
¤    Usaha dakwah yang dilaksanakan bukan sahaja menuntut pengorbanan masa, tenaga dan harta benda, malahan pergorbanan jiwa.
¤    Ujian penyeksaan ini merupakan salah satu proses penyaringan antara orang yang benar-benar beriman dengan orang yang berdusta.

6)          Memanfaatkan sumber manusia
Seruan dakwah Rasulullah SAW pada peringkat awal hanya diterima oleh golongan yang lemah dan miskin sahaja. Hikmahnya adalah untuk membuktikan bahawa ajaran Islam diterima kerana hidayah dan kekuasaan Allah SWT, bukan kerana dipengaruhi oleh pangkat dan kekuasaan yang dimiliki oleh manusia.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita perlu meletakkan kualiti sebagai asas penilaian dan meritokrasi sebagai kaedah pengukuran dalam proses pemilihan pengikut atau ahli.
¤    Orang yang lemah atau miskin tetapi memiliki kemahuan dan semangat yang tinggi perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
¤    Kita dituntut untuk berusaha sedaya-upaya menyampaikan seruan dakwah Islam, namun hidayah adalah hak mutlak Allah SWT.


7)          Meminimumkan sumber pembiayaan
Penentangan, sekatan, pemulauan dan penyeksaan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW mengakibatkan berlakunya kekurangan sumber pembiayaan untuk melaksanakan usaha dakwah. Rasulullah SAW telah membuktikan kepada pihak musuh bahawa pergantungan usaha dakwah bukanlah segi harta benda atau material tetapi diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Justeru, usaha dakwah Baginda SAW tetap diteruskan dengan penuh komitmen.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Faktor kebendaan atau material sememangnya diakui penting untuk menggerakkan dakwah, namun bukanlah menjadi faktor penentu yang bersifat mutlak.
¤    Matlamat mendapat ganjaran terbaik di akhirat perlu dijadikan sebagai dorongan untuk menghadapi segala kesusahan.
¤    Kita mestilah meyakini bahawa rezeki ditentukan oleh Allah SWT bukannya terletak di tangan manusia.

8)          Tinggi daya inspirasi
Kematian Khadijah dan Abu Talib yang menjadi tulang belakang usaha dakwah Rasulullah SAW pada tahun kesepuluh selepas kenabian merupakan peristiwa pahit yang terpaksa ditempuhi. Tahun tersebut digelar sebagai Tahun Dukacita bukan kerana terlalu bersedih atas kematian mereka berdua, tetapi kerana hasil dakwah yang berkurang berbanding semasa kedua-duanya masih hidup. Hikmahnya ialah menolak tohmahan musuh bahawa usaha dakwah berjaya disebarkan kerana kewibawaan kedua-dua tokoh tersebut.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Usaha dakwah dilaksanakan berdasarkan pada perintah Allah SWT dan tidak terikat dengan mana-mana tokoh atau peribadi.
¤    Kehidupan setiap manusia akan sampai ke penghujung usia, justeru usaha yang disandarkan pada mana-mana tokoh tidak akan kekal bertahan.
¤    Usaha menyampaikan dakwah adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap generasi umat Islam. Kita berperanan seumpama mata rantai pada perjuangan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW.

9)          Berani berhijrah
Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah setelah mendapati tekanan dan penyeksaan oleh golongan kafir Quraisy ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Maka para sahabat secara bersembunyi telah keluar dari Kota Mekah menuju ke Kota Madinah. Hanya Umar Al-Khattab yang mengisytiharkan penghijrahannya secara terang-terangan, namun tidak ada seorang pun yang berani menahan hasratnya itu.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita dituntut untuk berhijrah atau berubah ke arah yang lebih baik.
¤    Kegagalan untuk berubah akan mengakibatkan kita ketinggalan sama ada segi ilmu, kemahiran, teknologi dan sebagainya.
¤    Kita perlu bijak memilih kaedah atau cara untuk melakukan proses perubahan supaya hasilnya adalah yang terbaik.

10)     Strategik
Umat Islam dibenarkan berperang setelah dakwah Islam semakin berkembang luas dan ancaman yang dihadapi semakin kritikal. Secara asasnya peperangan yang berlaku di dalam Islam adalah untuk menegakkan keadilan, menumpaskan kekuasaan yang zalim dan seterusnya membebaskan perhambaan sesama manusia dan membawa pada pengabdian pada Tuhan Yang Maha Esa.
Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
¤    Kita wajib mempertahankan maruah diri dan agama daripada sebarang ancaman.
¤    Kemampuan berfikir secara strategik akan membolehkan kita merancang kaedah dan pendekatan yang paling berkesan dalam pelaksanaan sesuatu tugasan.
¤    Tindakan pencegahan merupakan langkah terbaik untuk menghadapi ancaman.


Persiapan Melengkapkan Diri Dengan Sifat Survival
Usaha yang sistematik perlu dilakukan untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Berikut disenaraikan beberapa langkah utama yang boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan

a)          Set Minda
Merangka set minda yang tepat adalah langkah permulaan untuk melengkapkan diri dengan sifat survival. Yakin mampu melakukannya, berfikiran positif untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan tenang menghadapi pelbagai bentuk tekanan perlu dijadikan sebagai teras utama set minda.

b)          Tanam Kesungguhan
Kesinambungan pada set minda yang tepat ialah tahap kesungguhan yang mendalam untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Sikap acuh tidak acuh atau mudah patah semangat merupakan ancaman utama yang perlu dihindari. Justeru, kesungguhan perlu dibuktikan dengan daya usaha yang gigih, kesediaan untuk belajar, keterbukaan untuk berubah dan daya inisiatif untuk meningkatkan kemahiran diri.

c)           Bertindak Secara Praktikal
Ilmu dan teori yang dimiliki perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan secara praktikal. Segala tindakan merupakan cerminan pada kualiti dan tahap kemahiran yang dimiliki. Kesinambungan proses ini akan menghasilkan kelakuan atau kelaziman yang akhirnya menjadi identiti diri yang mampu dipertahankan dalam apa jua keadaan.

d)          Mengharapkan Keredhaan Allah SWT
Usaha melengkapkan diri dengan sifat survival perlu disandarkan sepenuhnya pada matlamat mendapatkan keredhaan Allah SWT. Pada masa yang sama mengharapkan ganjaran terbaik di akhirat kelak. Tidak ada makna jika kita hanya berupaya menghadapi krisis dan cabaran di dunia sedangkan kecundang dengan ujian di akhirat.



e)           Berwaspada Terhadap Godaan
Akhirnya ialah sentiasa berwaspada terhadap godaan yang boleh memesongkan kita dari prinsip dan landasan yang benar. Pelbagai bentuk godaan akan menjadi ancaman kepada kita, sama ada berupa manusia, syaitan atau harta benda.

Tindakan Susulan
Usaha perlu digembleng oleh semua pihak demi memastikan iktibar yang diperolehi dari sejarah Maulidur Rasul benar-benar mampu dijadikan sebagai panduan dan rujukan menghadapi krisis dan cabaran. Justeru, tindakan susulan berikut perlu dijadikan sebagai agenda utama.

a)          Menerajui Perubahan
Kita berkewajipan untuk memainkan peranan sebagai peneraju pada perubahan ke arah mempersiapkan diri dengan sifat survival. Gejala suka mengharapkan orang lain atau merasa hina diri untuk membawa perubahan akan merugikan umat Islam secara keseluruhannya.

b)          Menimbulkan Kesedaran
Usaha awal yang perlu digerakkan ialah menimbulkan kesedaran dalam masyarakat untuk turut sama melakukan perubahan. Faedah dan kelebihan sifat survival perlu didedahkan kepada pengetahuan umum. Pada masa yang sama akibat atau kesan buruk jika gagal mempersiapkan diri dengan sifat tersebut perlu dijadikan sebagai peringatan.

c)           Mencetuskan Minat
Minat untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival yang tercetus dalam masyarakat merupakan bukti keberkesanan usaha menimbulkan kesedaran yang telah dilaksanakan. Minat tersebut perlu dipupuk dengan menyalurkan pelbagai maklumat yang sesuai. Pada masa yang sama usaha untuk menarik minat lebih ramai anggota masyarakat perlu diteruskan.

d)          Merangsang Kehendak
Langkah berikutnya ialah meyakinkan masyarakat bahawa mereka berkemampuan dan berkelayakan untuk mempersiapkan diri dengan sifat survival. Pendedahan pada contoh terdahulu atau cerita-cerita kejayaan akan menjadi perangsang yang meningkatkan kehendak dan kemahuan masyarkat untuk berubah.

e)           Membentuk gagasan
Usaha yang bersifat perseorangan atau serpihan berisiko untuk terhenti sekerat jalan. Justeru, inisiatif membentuk gagasan yang menggabungkan individu atau kumpulan yang mempunyai matlamat yang sama iaitu mempersiapkan diri dengan sifat survival akan mengukuhkan lagi usaha ini.

Kesimpulannya, kita berdoa dan memohon ke hadrat Allah SWT supaya usaha mengambil iktibar daripada sejarah Maulidur Rasul untuk menangani krisis dan cabaran dikira sebagai usaha jihad untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Oleh :
Izhan Hamidi bin Ibrahim
Perunding Akademi Aidit Sdn. Bhd.

segala yang baik itu hadirnya dari Allah dan segala kekurangan itu hadirnya dari diri ana yang dhoif ini..semoga semua nya berada dalam hati dan mengamalkan nya ameen...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...